SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menangani isu buli di sekolah yang semakin membimbangkan rakyat.
Naib Ketuanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya mengikuti dengan teliti ucapan penggulungan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat hari ini, namun amat mengecewakan kerana isu buli langsung tidak dijadikan agenda utama.
“Kami tidak menuntut Menteri mengulas kes-kes tertentu yang masih dalam perbicaraan mahkamah, tetapi rakyat khususnya ibu bapa mahu tahu apakah tindakan menyeluruh, sistematik dan proaktif yang telah diambil oleh kementerian dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menyatakan bahawa beberapa cadangan telah dikemukakan oleh ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, serta Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, sewaktu himpunan #Justice4Zara baru-baru ini.
Antara cadangan itu ialah pelaksanaan audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah berasrama penuh, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan aduan perselisihan antara pelajar, serta tindakan tegas terhadap pihak sekolah yang berusaha menyembunyikan kes buli.
Namun, menurutnya, jawapan menteri langsung tidak menyentuh kebimbangan utama ibu bapa iaitu jaminan keselamatan di sekolah.
“Apa sebenarnya yang ditakuti oleh Menteri Pendidikan? Beliau seharusnya tampil dengan keberanian, memperincikan pelan tindakan, serta memberikan jaminan dan komitmen dalam isu ini, tetapi sebaliknya berlaku.
“Oleh itu, kami menegaskan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, telah gagal menjalankan amanahnya khususnya ketika krisis seperti hari ini. Beliau kini layak digelar sebagai Menteri paling mengecewakan dalam kabinet,” tambahnya.
Sehubungan itu, Muhammad Faizzuddin menyeru agar Menteri berundur secara terhormat dan memberi ruang kepada individu yang lebih berwibawa, berani dan mampu menangani isu pendidikan negara dengan serius.