Syahredzan bidas Hafez Sabri kaitkan agama dengan isu Dewan Rakyat

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri dikritik kerana didakwa memainkan sentimen agama berhubung penggantungan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary selama dua hari.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, beliau sendiri menyaksikan insiden tersebut ketika berada dalam Dewan Rakyat semasa sesi penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada Isnin.

Menurutnya, Ahmad Marzuk beberapa kali mengganggu sesi penggulungan Mohd Na’im dan tidak mengendahkan arahan Timbalan Speaker untuk berhenti mencelah kerana kesuntukan masa.

“Ketika itu, Yang Berhormat (YB) Pengkalan Chepa sedang bertikam lidah dengan Menteri Agama. Disebabkan masa kian suntuk, Timbalan Speaker YB Alice telah menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(2) untuk tidak membenarkan mana-mana Ahli Dewan bertanyakan soalan lagi.

“Walaupun dengan arahan tersebut, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa masih tidak mengendahkan Timbalan Speaker dan terus bertengkar dengan Menteri walaupun amaran telah diberikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Syahredzan memaklumkan, Timbalan Speaker seterusnya memberi amaran bahawa Ahmad Marzuk akan diarahkan keluar jika berdegil, namun Ahli Parlimen itu tetap bangun mencelah walaupun diarahkan berhenti.

Beliau berkata, Ahmad Marzuk diarahkan berehat selama setengah jam tetapi masih berucap tanpa kebenaran sebelum akhirnya digantung selama dua hari.

"Apa yang berlaku tidak ada kena-mengena dengan parti mahupun agama YB Alice. Tetapi seperti biasa, pemimpin Pas seperti YB Mohd Hafez Sabri hanya tahu memainkan sentimen kaum dan agama.

“Isu ketidakpatuhan arahan Pengerusi Dewan Rakyat walaupun berkali-kali diberi amaran telah dikaitkan dengan anutan agama YB Alice itu sendiri,” ujarnya.

Syahredzan menegaskan, semua Ahli Dewan mahu mendengar penjelasan daripada Menteri Agama mengenai perkara berkaitan agensi agama di peringkat Persekutuan yang dibangkitkan dalam perbahasan, namun tindakan Ahmad Marzuk mengganggu urusan Dewan.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, merangkap Ketua Pemuda Pas Perak itu bertujuan mengalih perhatian daripada hipokrasi mereka berhubung isu tertentu.

“Untuk rekod, telah didedahkan bahawa semasa mereka berkuasa, 23 syarikat bukan bumiputera diberikan kontrak oleh Tabung Haji, tetapi kini dijadikan isu pula di zaman Kerajaan Madani,” katanya lagi.

Syahredzan menasihatkan wakil rakyat muda supaya membawa politik baharu yang segar dan matang, namun malangnya politik Pas masih berada di takuk lama.