GEORGE TOWN – Pemuda UMNO Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang bakal berdepan proses perundangan di mahkamah.
Ketuanya, Mohd Hilmi Elias berkata, seluruh kepimpinan dan anggota Pemuda UMNO negeri akan turut serta bersama barisan Pemuda UMNO dari seluruh negara menghadiri prosiding di Mahkamah Bukit Mertajam pada 22 Ogos ini.
Menurutnya, kehadiran mereka pada jam 8 pagi itu sebagai tanda solidariti dan sokongan moral terhadap Akmal.
“Pemuda UMNO Pulau Pinang percaya bahawa perjuangan Muhamad Akmal adalah demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
"Kehadiran kami bukan sahaja sebagai sokongan kepada beliau secara peribadi malah manifestasi semangat juang Pemuda UMNO yang sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut memohon orang ramai khususnya di Pulau Pinang serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan agar hadir bersama memberikan sokongan pada hari berkenaan.
“Ayuh kita tunjukkan bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersatu hati dalam soal memartabatkan maruah negara,” katanya.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal mengesahkan beliau akan berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini.
Beliau berkata, pihak polis memaklumkan bahawa dirinya akan dituduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Dr Muhamad Akmal yang kini berada di Makkah untuk menunaikan umrah akan memendekkan ibadah umrahnya dan pulang bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan membuat, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan serta kegusaran awam.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal mengetuai 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda menghormati Jalur Gemilang susulan insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan.
Susulan daripada itu, beliau telah dipanggil memberi keterangan di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Sabtu lalu berhubung perhimpunan berkenaan.
Menurut peguamnya, Aizat Azam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memberikan kerjasama penuh sepanjang sesi siasatan dan menjawab lebih 80 soalan daripada pegawai penyiasat.
Terdahulu, tular melalui media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.