'DAPSY Kedah jangan tambah ketegangan'

ALOR SETAR – Pemuda Amanah Kuala Kedah menegur tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kedah yang didakwa mencampuri urusan politik negeri lain berhubung isu bendera yang berlaku di Pulau Pinang.

Ketuanya, Fadli Hussin berkata, kenyataan media yang dikeluarkan oleh DAPSY Kedah bukan sahaja tidak membantu, malah berpotensi menambah ketegangan serta mengeruhkan suasana politik semasa.

“Isu bendera bukan perkara kecil. Ia melibatkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.

"Jika dipandang remeh, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa semangat kebangsaan semakin longgar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hubungan baik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya di Kedah perlu dipelihara dan sebarang perbezaan pandangan wajar disuarakan secara diplomatik melalui saluran dalaman.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kebijaksanaan pimpinan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan isu tersebut, khususnya melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

“Pihak polis juga telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dalam mengawal himpunan yang diketuai YB Dr Akmal.

"Siasatan sedang dijalankan dan kita yakin tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan,” ujarnya.

Fadli menegaskan bahawa setiap pihak berhak menyatakan pandangan, namun ia perlu dilakukan dalam suasana aman, matang dan terkawal tanpa sebarang provokasi yang boleh merugikan semua pihak.

“Diam lebih baik daripada berkata-kata jika kenyataan itu hanya menambah kekeliruan dan ketegangan,” ujarnya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan DAPSY Kedah mendesak kepimpinan DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan semua bentuk hubungan dengan Dr Muhamad Akmal termasuk menolak sebarang kerjasama politik dengannya pada pilihan raya umum akan datang.

DAPSY Kedah dalam kenyataannya berkata, tindakan Dr Muhamad Akmal menganjurkan perarakan dan berlagak samseng di Kepala Batas ekoran isu bendera jelas menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bertindak umpama ‘Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN)’ dan bukannya pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan.