Kerajaan Perpaduan tubuh jawatankuasa teknikal tumpu strategi PRN Sabah

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang membincangkan kerjasama antara parti-parti gabungan menjelang PRN Sabah.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama politik agar jentera Kerajaan Perpaduan di Sabah dapat digerakkan dengan lebih tersusun dan bersepadu.

Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya Kajian Separuh Penggal pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dilakukan di peringkat Jemaah Menteri dibentangkan kepada majlis berkenaan.

Menurut beliau, perkara itu penting bagi menilai semula pelaksanaan dasar yang telah dipersetujui bersama di samping menghormati perspektif berbeza parti-parti dalam gabungan.

“Mesyuarat juga menilai pencapaian kerajaan dan mengambil perhatian terhadap semua teguran yang diberikan terhadap pentadbiran,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Asyraf berkata, mesyuarat turut memberi fokus kepada usaha-usaha pemantapan ekonomi negara serta pelaksanaan program demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, mesyuarat turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan Malaysia dan Perdana Menteri yang berjaya mewujudkan perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja.

Majlis Perundingan berkenaan menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus mengangkat prestasi pentadbiran, menjaga kestabilan politik serta memastikan kesejahteraan rakyat berada pada tahap terbaik.