JOHOR BAHRU – Veteran UMNO Johor menyifatkan arahan supaya sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, sebagai tindakan politik intimidasi yang biadab dan tidak wajar.
Pengerusinya, Datuk Othman Jais berkata, tindakan itu dikeluarkan hanya kerana Muhamad Akmal mempertahankan Jalur Gemilang menerusi perarakan dan demonstrasi di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada Khamis lalu.
“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan identiti negara. Tiada kompromi dalam menjaga kehormatannya dan tindakan tegas mesti dikenakan tanpa mengira siapa yang melakukan kesalahan.
“Namun jangan sekali-kali bendera negara dijadikan modal politik oleh DAP untuk mengaibkan pihak lawan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada 15 Ogos lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan mengarahkan DAPSY membuat laporan polis terhadap Muhamad Akmal berhubung perhimpunan solidariti di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas.
Laporan itu dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Kira-kira 500 ahli UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai perhimpunan tersebut yang diberi nama Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku, sebagai tanda patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Sebelum ini, Muhamad Akmal konsisten mempertahankan pendiriannya mengecam tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Othman berkata, kenyataan Anthony Loke seolah-olah memperlekeh isu tersebut sehingga bertindak mengarahkan laporan polis dibuat.
“Veteran UMNO Johor berdiri teguh di belakang Muhamad Akmal dan menyeru seluruh rakyat agar sentiasa menghormati bendera negara sebagai tanda kasih dan taat setia kepada tanah air.
“Oleh itu, mana-mana individu, pihak berkuasa tempatan, agensi, atau syarikat yang cuai atau sengaja memasang bendera secara terbalik wajib dikenakan tindakan undang-undang tanpa pilih kasih,” katanya.