KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan Ketua Armadanya, Hilman Idham di bawah Kanun Keseksaan berhubung ucapannya dalam himpunan membantah Akta Hasutan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai pemimpin sayap anak muda, Hilman berhak untuk menyuarakan kritikan terhadap undang-undang tersebut serta menentang tindakan pihak berkuasa menahan beberapa pemimpin Armada di bawah akta berkenaan.
Menurut beliau, tindakan mendakwa Hilman adalah bukti nyata bahawa kerajaan hari ini gagal mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang dijanjikan sebelum berkuasa.
“Pakatan Harapan pernah berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan. Namun kini, apabila sudah menjadi kerajaan, bukan sahaja akta itu tidak dimansuhkan, malah mereka mendakwa orang yang membantahnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Muhyiddin menyifatkan perkara itu sebagai hipokrasi paling jelas apabila undang-undang yang dahulunya dituduh zalim kini dipertahankan oleh kerajaan.
Beliau menegaskan langkah tersebut sekali gus mencerminkan kegagalan Kerajaan Madani dalam menunaikan komitmen terhadap prinsip demokrasi dan hak rakyat untuk bersuara.
“Inilah hipokrasi yang paling nyata. Bukan sahaja kebebasan bersuara tidak lagi dilindungi, malah undang-undang yang pernah dikatakan zalim kini dilindungi atas nama undang-undang,” tegasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyatakan sokongan penuh kepada Hilman serta seluruh kepimpinan Armada Bersatu agar terus tabah menghadapi tekanan politik yang disifatkan sebagai kezaliman kerajaan.
“Saya mendoakan agar Saudara Hilman dan seluruh barisan kepimpinan serta ahli Armada Bersatu terus cekal melawan kezaliman dan hipokrasi Kerajaan Madani,” katanya lagi.
Terdahulu, Hilman tampil memberi keterangan di Ibupejabat Polis Bukit Aman berhubung ucapannya ketika himpunan solidariti menolak Akta Hasutan 1948 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 29 Julai lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu memaklumkan siasatan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang berkait ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Himpunan solidariti pada 29 Julai lalu dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.
Perhimpunan itu disertai pimpinan utama Bersatu dan Armada yang menuntut kerajaan menghentikan pendakwaan bersifat politik.
Selepas perhimpunan berkenaan, beberapa pemimpin parti itu ditahan polis bagi membantu siasatan, mencetuskan kritikan pelbagai pihak terhadap tindakan pihak berkuasa.
Hilman berkata, Armada dan Bersatu akan terus memberi sokongan kepada semua pimpinan yang disiasat, selain mendesak agar proses undang-undang dijalankan secara adil dan telus.