Akmal Saleh pulang awal dari umrah, berdepan pertuduhan Seksyen 505(b) Jumaat ini

GEORGE TOWN – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan beliau akan berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini.

Beliau berkata, pihak polis memaklumkan bahawa dia akan dituduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

“Saya kini berada di Makkah untuk menunaikan umrah. Saya akan memendekkan ibadah umrah ini dan pulang bagi menghadapi pertuduhan pada Jumaat, jam 8 pagi.

“Jika ini harga yang perlu saya bayar demi mempertahankan kedaulatan negara, saya tidak akan berganjak walau seinci,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan membuat, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan serta kegusaran awam.

Sebelum ini, Muhamad Akmal mengetuai kira-kira 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda menghormati Jalur Gemilang susulan insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan.

Susulan itu, beliau dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Sabtu lalu berhubung perhimpunan berkenaan.

Menurut peguamnya, Aizat Azam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memberikan kerjasama penuh sepanjang sesi siasatan dan menjawab lebih 80 soalan daripada pegawai penyiasat.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas yang dilihat sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.

Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.

Susulan daripada itu, pemilik kedai perkakasan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan namun dibebaskan dengan jaminan polis.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di sekitar Kepala Batas pada malam 9 Ogos lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 3 petang, sehari kemudian.

Seramai 10 individu telah diambil keterangan untuk siasatan dan polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden berkenaan