KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad bersalah dalam isu Pulau Batu Puteh dipersoal sedangkan tiada sebarang pendakwaan atau perbicaraan dilakukan ke atas bekas Perdana Menteri itu.
Peguam, Rafique Rashid Ali berkata Perdana Menteri bukanlah seorang anggota polis, pendakwa raya mahupun hakim yang boleh menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.
"RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) bukan mahkamah. Ia hanya menyiasat dan membuat syor. RCI tiada kuasa mendakwa atau menghukum sesiapa.
“Tun Mahathir tidak pernah dituduh di mana-mana mahkamah. Tiada perbicaraan pun terhadap beliau. Jadi bila pula beliau dipanggil untuk bela diri dan didapati bersalah?” soalnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa kabinet tidak meneruskan sebarang tindakan terhadap Tun Dr Mahathir kerana mengambil kira faktor usia negarawan itu yang sudah menjangkau hampir 100 tahun.
Mengulas lanjut, Rafique turut mempersoalkan mengapa tiada sebarang laporan polis dibuat oleh kerajaan walaupun RCI berhubung isu Batu Puteh mencadangkan siasatan jenayah mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.
“Malah antara yang hadir dalam mesyuarat Kabinet semasa pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 ketika keputusan mengenai Batu Puteh dibuat termasuklah isteri Perdana Menteri, Anthony Loke dan Mohamed Sabu. Adakah mereka semua juga telah ditipu? Mengapa tiada laporan polis daripada mereka?” soalnya lagi.
Rafique berkata, usul berkaitan hasil siasatan RCI sebelum ini telah dibentangkan di Parlimen tetapi ditarik balik sebelum sempat diundi, malah versi usul tersebut didakwa telah dipinda hingga 47 muka surat menjadi kosong tanpa sebab yang jelas.
Katanya, tindakan itu hanya menimbulkan lebih banyak persoalan, khususnya tentang integriti proses tersebut dan sikap berat sebelah dalam laporan RCI apabila terdapat ahli panel yang mempunyai konflik kepentingan.
"Mahkamah bersidang di mahkamah, bukan di Dewan Rakyat. Ini perkara asas yang budak sekolah menengah pun faham. Seorang perdana menteri mesti berkata benar. Kalau tidak, buruk di mata rakyat,” tegasnya.