SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti dalam kalangan parti pembangkang.
Ketua parti yang hadir pertemuan itu termasuklah pemangku Presiden Muda, Amira Aisya dan Timbalan Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (PSM), S Arutchelvan.
Bagaimanapun, wakil daripada Pas tidak disenaraikan sebagai antara yang menyertai perjumpaan berkenaan walaupun parti itu merupakan antara komponen utama dalam PN.
Menurut Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), cadangan penubuhan barisan rentas parti itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang di dalam dan di luar Parlimen.
"Semua yang hadir telah memberikan maklum balas yang amat positif terhadap cadangan ini.
"Insya-ALLAH, saya akan membawa pandangan-pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu telah memberi Muhyiddin mandat untuk menerajui usaha membentuk barisan pembangkang dengan parti di luar blok kerajaan.
Perjumpaaan tersebut juga hadir selepas Pas baru-baru ini mengingatkan Bersatu untuk berbincang dengan parti dalam gabungan PN sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pada 14 Julai lalu berkata, antara isu dasar yang penting dan tidak dirundingkan dulu dengan mereka ialah calon perdana menteri daripada PN.
Katanya, keputusan sebegitu ada yang diumumkan oleh Muhyiddin tanpa berunding terlebih dulu dengan Pas.
Pemimpin pembangkang lain yang hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali.
Turut hadir, Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P Ramasamy dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.