Desakan terbuka ketua UMNO bahagian tindakan biadab terhadap PMX

IPOH – Desakan terbuka segelintir Ketua Bahagian UMNO yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan Titah Adendum berhubung isu pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai tindakan tidak beradab dan biadab terhadap ketua kerajaan.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Gerik, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja memberi tekanan tidak wajar kepada Perdana Menteri malah berisiko mengelirukan rakyat serta mencemar prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, desakan itu seolah-olah memperlekeh peranan Perdana Menteri sebagai pemimpin yang sentiasa menjunjung tinggi institusi Raja-Raja Melayu serta proses perundangan negara.

"Perlu difahami bahawa isu ini kini berada dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan setelah melalui pelbagai peringkat kehakiman.

"Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melaksanakannya kerana keputusan akhir adalah tertakluk kepada proses mahkamah dan Lembaga Pengampunan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Safwan berkata, pada 1 dan 2 Julai lalu Mahkamah Persekutuan telah mendengar hujahan berhubung permohonan semakan kehakiman membabitkan surat daripada Istana Pahang yang sebelum ini dibenarkan Mahkamah Rayuan namun dicabar oleh pihak Peguam Negara.

Katanya, sehingga kini belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan oleh mahkamah dan adalah tidak bertanggungjawab untuk memaksa Perdana Menteri membuat tindakan sementara prosiding masih berjalan.

“Perdana Menteri hanyalah pemudah cara kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Tambahan pula, isu titah adendum ini dikatakan berlaku dalam tempoh peralihan kuasa antara Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan ke-17 yang menimbulkan persoalan dari sudut undang-undang dan kini diperhalusi oleh mahkamah,” katanya.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa perkara itu boleh dibawa semula dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang dan Perdana Menteri telah memberi jaminan untuk mempersembahkannya secara berperlembagaan apabila tiba masanya.

Ahmad Safwan turut menyeru agar semua Ketua Bahagian UMNO memahami konteks sebenar isu berkenaan dan membantu memberi penjelasan kepada akar umbi, bukan menambahkan kekeliruan demi kepentingan politik tertentu.

“Kestabilan negara tidak boleh digadaikan untuk memenuhi tuntutan kelompok sempit.

"Kita semua bertanggungjawab memelihara maruah institusi kehakiman, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan menghormati kebijaksanaan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Pada Khamis, seramai 145 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara mendesak Anwar mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan Titah Adendum bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Mereka menegaskan, ia sebagaimana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, sekali gus tiada lagi alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya.

Media pada 19 Julai lalu melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.