'Kalau tidak ada pengaruh, macam mana boleh hancurkan parti pula?' - Rafizi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyelar dakwaan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin bahawa dirinya ingin menghancurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Rafizi dengan nada sinis berkata, dirinya kini sudah tidak berpengaruh dan tuduhan tersebut tidak sepatutnya dilemparkan setelah beliau dilabel sebagai pemimpin yang ditolak akar umbi serta menjadi beban kepada parti dan kerajaan.

"Eh, kalau dah ditolak akar umbi dan tidak ada pengaruh, baguslah campak jauh-jauh, bukan ada kesan pun.

"Kalau tidak ada pengaruh, macam mana boleh hancurkan parti pula?" soalnya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Azman menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan Rafizi yang dilihat berhaluan kiri dan mahu memusnahkan PKR daripada dalam.

Azman turut mempersoalkan niat sebenar Rafizi kerana sering menghentam dan menikam parti daripada belakang semenjak kalah dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada Mei lalu.

Tambahnya, tindakan Rafizi juga jelas terpesong daripada landasan perjuangan sedia ada.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, dirinya sudah lali dengan label dilontarkan beberapa individu PKR dalam tiga bulan kebelakangan ini, sambil membalas dakwaan tersebut dengan 'memperkenalkan' Azman sebagai orang hebat dalam PKR yang dakwanya sentiasa mendapat tempat dalam kerajaan meskipun kurang dikenali.

Justeru, beliau 'tidak sabar' untuk menyaksikan peranan yang akan dimainkan Azman dalam usaha mendapatkan 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Jadi yang muda-muda dalam PKR boleh buat pilihan model politik yang serasi dengan kita.

"Jenis pandai ‘swing’ asalkan nama dapat dekat kita atau yang berpegang kepada idealisme, reformasi dan ambil jalan susah walaupun tidak ada nama.

"Saya tak sabar nak tengok Azman berkempen seluruh negara untuk dapatkan 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti dengan panduan daripada Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan. 

"Insya-ALLAH Azman akan bawa era baharu dalam PKR,” sindir beliau.