SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan perbincangan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan pada Jumaat.
Beliau berkata, ia bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
"Penubuhan barisan rentas parti ini bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang dalam dan di luar Parlimen.
"Semua yang hadir telah memberikan maklum balas yang amat positif terhadap cadangan ini.
"Insya-ALLAH, saya akan membawa pandangan-pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan datang," katanya menerusi hantaran di Facebook.
**media[3207347]**
Antara yang hadir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali.
Antara lainnya, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan; Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P Ramasamy dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.