Bebaskan negara daripada cengkaman pemimpin lupa diri - Sanusi

ALOR SETAR – Sudah tiba masanya rakyat bangkit bersama bagi membebaskan negara daripada cengkaman pemimpin yang lupa diri selepas memegang kuasa, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut beliau, pemimpin yang dahulunya mendengar suara rakyat kini hanya tunduk kepada tekanan ‘tauke-tauke’ serta pihak yang memberikan kepentingan peribadi kepada mereka.

Katanya, sikap pemimpin sebegitu tidak sewajarnya diberikan sokongan kerana yang nyata hanya sekadar meraih undi dalam pilihan raya.

“Kita tunjukkan syarat bahawa kita akan bebaskan negara ini daripada cengkaman orang-orang yang tidak mengenal kita lagi selepas menjadi perdana menteri, selepas menjadi menteri-menteri.

“Sekarang ini mereka tidak dengar suara kita. Mereka hanya dengar suara tauke-tauke dan suara orang-orang yang mendatangkan kepentingan kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti di sini pada Khamis.

Hadir sama, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, rakyat perlu bercakap perkara yang benar, meskipun ada pihak yang cuba menyembunyikan kebenaran demi mempertahankan kuasa mereka.

“Banyak kebenaran yang sengaja diselindungkan untuk menjaga kepentingan kuasa segelintir yang kini sudah tidak sedar diri selepas diberi kekuasaan,” katanya.

Menurutnya lagi, gerakan Himpunan Turun Anwar dilakukan atas rasa cinta kepada rakyat dan tanah air tanpa sebarang kepentingan diri, semata-mata untuk masa depan generasi akan datang.

“Ini himpunan yang sangat bersejarah dalam tempoh tiga tahun. Ini adalah pra perhimpunan mega yang akan diadakan pada 26 Julai di Kuala Lumpur.

“Ia sama penting dengan himpunan akan datang dan saya yakin himpunan ini tidak akan sia-sia,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menzahirkan rasa kagum terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus istiqamah memikirkan masa depan negara walaupun sudah berusia 100 tahun.

“Pada umur 100 tahun, saya yakin Tun Mahathir satu-satunya pemimpin di dunia yang masih bekerja untuk memandu kehidupan rakyat negara ini kerana beliau sayang kepada tanah air ini. Beliau masih bersusah payah untuk negara ini,” katanya.