'Saya bukan nak jadi PM lagi, sekadar penasihat jika PN kembali berkuasa' - Tun M

ALOR SETAR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk kembali memegang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara, sebaliknya hanya akan berperanan sebagai penasihat.

Menurut negarawan berusia 100 tahun itu, faktor usia tidak lagi membolehkannya berada di barisan hadapan kepimpinan, namun beliau masih mahu menyumbang pengalaman lebih 80 tahun dalam politik untuk negara.

“Saya ini dah tua, 100 tahun. Saya tak boleh lagi buat ucapan berapi-api macam dulu. Bukan saya nak ambil alih tempat orang muda. Kita terima orang muda, bukan saya nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, dua kali sudah cukup.

“Tapi saya nak bagi sedikit nasihat sebab saya sudah jadi Perdana Menteri selama 24 tahun, dalam arena politik lebih 80 tahun,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti di sini pada Khamis.

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Dr Mahathir berkata, sekiranya PN mengambil alih pentadbiran Putrajaya, ia akan menjadi kerajaan yang bersedia menerima nasihat bagi memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan termasuk isu kemiskinan.

“Kalau kita tukar kerajaan, kita akan ada Perdana Menteri yang sanggup menerima nasihat. Saya yakin banyak masalah dapat kita atasi termasuk kemiskinan rakyat,” katanya.

Menurut beliau lagi, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber dan rakyat sepatutnya hidup senang jika aset negara diuruskan dengan baik.

“Negara ini kaya, sepatutnya semua orang pun kaya. Tetapi kalau kita tak tahu macam mana nak guna aset yang ada kepada kita, kita tak akan jadi kaya.

“Sebagai kerajaan, tumpuan mereka mestilah untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dalam negara. PN boleh selesaikan, boleh kurangkan kemiskinan. Inilah harapan kita, sebab itu kita adakan perhimpunan ini,” katanya.

Beliau juga menekankan keperluan untuk rakyat, khususnya orang Melayu menceburi bidang perniagaan bagi mengatasi kemiskinan yang dihadapi.

“Saya nak nasihat semua orang Melayu. Kenapa orang Melayu miskin? Sebab mereka tak berniaga. Makan gaji tak boleh jadi kaya, nak hantar anak ke universiti pun tak cukup duit.

“Sebab itu kita perlu masuk bidang perniagaan dan perusahaan. Saya jumpa ramai orang Melayu yang sekarang berniaga dan menunjukkan kebolehan mereka termasuk dalam bidang teknologi maklumat.

“Insya-ALLAH jika kita pilih untuk berniaga, kemiskinan dapat kita atasi dan masalah dapat dikurangkan,” ujarnya.

Himpunan Mandat Negarawan berkenaan merupakan pembuka tirai kepada perhimpunan lebih besar yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini, bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berundur.