ALOR SETAR – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa orang Melayu perlu mengetepikan perbezaan politik buat sementara waktu dan bersatu demi menyelamatkan negara daripada kehilangan kuasa pemerintahan.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, walaupun orang Melayu masih menjadi majoriti dalam kerajaan pada hari ini, mereka bukan lagi dominan akibat perpecahan yang berlaku sejak sekian lama.
“Sebab itu saya minta, buat masa ini, kita ketepikan parti. Kita utamakan Melayu. Kita nak berjuang untuk Melayu, pada masa sama bukan menolak kaum lain.
“Kita perlu jaga supaya orang Melayu mempunyai kekuatan yang cukup untuk memelihara negara ini. Inilah perjuangan yang sedang kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti di sini pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Dr Mahathir berkata, penyatuan orang Melayu perlu dilaksanakan kerana bangsa Melayu akan menjadi lemah apabila terus berpecah-belah.
“Sebelum ini orang Melayu pernah bersatu di bawah satu parti yang kuat seperti UMNO, namun perpecahan berlaku sehingga wujudnya lima parti kecil.
“Tidak ada siapa pun daripada mereka yang boleh menang dengan bilangan (kerusi) yang cukup untuk membentuk kerajaan,” ujarnya.
Menurut beliau, orang Melayu perlu kembali bersatu untuk memastikan dominasi kaum Melayu kekal dalam kerajaan.
“Hari ini orang Melayu sudah hilang kuasa, sebab itu kita perlu bersatu semula. Bukan sebagai parti tetapi sebagai orang Melayu kerana kita mahu selamatkan negara kita.
“Tak ada orang lain yang akan selamatkan negara kita, kita adalah majoriti terbesar dalam negara ini,” jelasnya.
Tambah beliau, orang Melayu perlu memahami bahawa kekuatan bangsa adalah kunci untuk melindungi negara ini daripada dikuasai oleh pihak lain.
“Bukan kita tolak kaum lain, mereka boleh bersama kita, kita cantum dalam satu pergerakan. Tetapi kita kena jaga hak kita. Kalau kita tak jaga hak kita, kita akan hilang kuasa,” tegasnya.
Katanya, orang Melayu yang merupakan kaum majoriti perlu mengambil tanggungjawab memastikan negara ini kekal aman dan stabil untuk diwarisi generasi akan datang.
“Kita bukan tamak, kita sanggup berkongsi dengan kaum lain. Tetapi jangan sampai kepada tahap orang lain ambil alih negara ini. Berpada-padalah, jangan kongsi sampai hilang kuasa, hilang negara,” katanya.
D. Mahathir turut mengingatkan agar situasi di negara luar dijadikan iktibar kerana banyak negara gagal mencapai keamanan disebabkan permusuhan sesama sendiri walaupun hanya berbeza sedikit dari sudut agama dan budaya.
“Di Malaysia, walaupun penduduk berbilang kaum, agama dan budaya, negara kita aman. Kita nak supaya negara kita terus aman dan caranya adalah dengan kerjasama antara kaum,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa sistem politik negara ini membenarkan parti-parti mewakili kaum masing-masing untuk bekerjasama dalam satu pakatan sekali gus membolehkan semua permasalahan dibawa ke meja perbincangan secara harmoni demi kepentingan negara.