Mohd Nazifuddin ucap terima kasih atas solidariti 160 ketua UMNO bahagian

KUALA LUMPUR – Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd Nazifuddin merakamkan penghargaan kepada lebih 160 ketua bahagian dan pemimpin UMNO yang hadir memberikan sokongan dalam perjumpaan khas di ibu negara.

Mohd Nazifuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkata, kehadiran sebahagian besar pimpinan parti itu membuktikan semangat solidariti yang kukuh terhadap ayahandanya.

“Terima kasih kepada semua sahabat kita yang hadir malam ini. Walaupun perjumpaan ini tidak rasmi, tetapi ia penuh makna kerana memperlihatkan semangat persahabatan dan kebersamaan dalam UMNO,” katanya kepada media selepas perjumpaan di sebuah hotel pada Khamis.

Menurutnya, beliau amat menghargai kehadiran pemimpin UMNO dari seluruh negara termasuk dari Sabah yang sanggup hadir walaupun pertemuan itu diadakan dalam tempoh singkat.

“Solidariti malam ini begitu kuat dan sokongan terhadap Datuk Seri Najib amat jelas. Ini membuktikan usaha kita akan diteruskan agar beliau diberi keadilan dan Titah Adendum dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua ahli UMNO supaya terus bersatu dan menyokong perjuangan membela keadilan terhadap Najib.

“Kita mahu Datuk Seri Najib kembali bersama-sama dengan kita untuk membangunkan semula UMNO, parti yang kita cintai, dan menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, seramai 160 ketua UMNO bahagian sebulat suara mendesak pelaksanaan Titah Adendum agar Najib dapat menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.