Titah Adendum: Presiden UMNO didesak bertemu PM

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO didesak agar mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan pelaksanaan hukuman tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak seperti diperkenankan dalam Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Gesaan itu dinyatakan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah mewakili 160 ketua UMNO bahagian dari seluruh negara yang hadir dalam perjumpaan tertutup.

“Perjumpaan khas ini diadakan atas semangat memperkukuh kerja buat presiden terdahulu, kini dan selamanya.

"Salah satunya ialah usaha memastikan Titah Adendum ini dilaksanakan segera,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan khas itu di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

**media[3205868]**

Antara yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Nazifuddin Najib (Langkawi); Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar); Datuk Suraya Yaacob (Pendang); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai); Datuk Johan Abdul Aziz (Hulu Langat); Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman).

Menurutnya, pertemuan itu diadakan sebagai respon kepada kenyataan media Setiausaha Agung UMNO pada 11 Julai lalu berhubung isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan agar Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Tambah beliau, fakta mengenai kewujudan Titah Adendum telah disahkan secara rasmi oleh Istana Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari lalu dan turut diputuskan sebagai sah oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025.

“Namun, amat mendukacitakan apabila Titah Adendum disorok lebih setahun oleh bekas Peguam Negara, yang jelas menafikan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan mencemarkan institusi diraja,” katanya.

Berikutan itu, ketua-ketua UMNO bahagian sebulat suara bersetuju mendesak kerajaan agar segera melaksanakan tiga keputusan utama dalam mempertahankan keadilan dan institusi diraja.

"Pertama, mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan Titah Adendum yang memperkenankan Najib menjalani tahanan rumah serta-merta tanpa sebarang alasan untuk melengah-lengahkannya.

"Kedua, mendesak Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu demi menjunjung titah raja dan mendukung prinsip keadilan.

"Ketiga, mencadangkan agar semua UMNO bahagian yang belum bersidang supaya membawa usul khas mengenai isu Titah Adendum dalam mesyuarat masing-masing sebagai bukti solidariti dan kesepakatan parti," katanya.

Menurut Shafei, isu ini bukan sekadar membabitkan nasib seorang individu, sebaliknya melibatkan soal kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi diraja yang wajib dipertahankan.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Perdana Menteri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat bagi menghormati titah dan mengelakkan ketegangan politik.

“Kita percaya Perdana Menteri akan akur dan melaksanakan titah ini. Jika tidak berlaku, kita akan ‘cross the bridge when we come to it’,” katanya ringkas.

Turut dimaklumkan, seramai 145 ketua bahagian hadir dalam perjumpaan malam ini, manakala 15 lagi tidak dapat hadir kerana berada di luar negara namun tetap menyatakan sokongan terhadap keputusan bersama.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mempersendakan Titah Adendum, Mohd Shafei berkata, perkara itu hanyalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian parti dalam kerajaan perpaduan.

“Kita desak kerajaan ambil tindakan segera. Kalau boleh semalam,” tegas beliau.