Tun M hadir di Himpunan Mandat Negarawan selepas kembali sihat

ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan pertama di khalayak pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad.

Dr Mahathir hadir memeriahkan sesi pidato bersama kepimpinan utama Perikatan Nasional yang bermula pada 9.30 malam.

Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) itu tiba sekitar 10.20 malam dan dilihat sihat sepenuhnya, sebelum menyertai syarahan perdana bersama empat pemimpin lain.

Syarahan Perdana dimulakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, diikuti Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pidato seterusnya menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemunculan Dr Mahathir yang dinanti-nantikan itu merupakan penutup acara Himpunan Mandat Negarawan yang bermula sejak petang tadi dengan pelbagai pengisian.

Sebelum itu, diadakan Himpunan Mega Anak Muda, diikuti solat Maghrib, solat hajat dan munajat berjemaah sebelum meneruskan sesi bacaan Yasin dan solat Isyak.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sekitar jam 10 pagi akibat keletihan.

Beliau hadir memeriahkan "Picnic & Potluck" sempena sambutan hari lahirnya yang ke-100 pada 10 Julai lalu bersama ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu tiba pada jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal selama 30 minit di sekitar Tasik Putrajaya.