ALOR SETAR - Suara anak muda bergema lantang dalam Himpunan Mega Anak Muda yang berlangsung di Stadium Suka Menanti di sini pada petang Khamis.
Dalam himpunan tersebut, Naib Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin menyeru generasi muda agar menyertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini di ibu negara untuk menolak apa yang disifatkan sebagai ‘kepimpinan gagal’ yang didakwa semakin menekan kehidupan rakyat.
Beliau menekankan bahawa kebangkitan kali ini tidak terhad kepada pemuda Pas, sebaliknya merentasi perbezaan parti politik termasuk penyertaan dari Armada Bersatu dan individu yang tidak berparti.
“Kita datang dari seluruh tanah air, kita kumpulkan tenaga dan simpulkan kesatuan untuk menyatakan penolakan terhadap Kerajaan Madani,” katanya di hadapan hadirin.
Jelas beliau, kemuncak gerakan ini bakal menyaksikan perhimpunan besar-besaran di ibu negara yang dijangka menghimpunkan lebih 300,000 peserta.
“Kedah akan menghantar tidak kurang dari 1,000 bas ke Kuala Lumpur. Ini isyarat jelas bahawa rakyat, khususnya anak muda, muak dengan kegagalan,” katanya tegas.
Beliau turut memetik tulisan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai amaran kepada bahaya meletakkan amanah kepada mereka yang tidak layak.
“Apabila amanah diberi kepada yang tidak layak, maka nantikanlah hari kiamat. Ini punca kenapa kita turun pada 26 Julai, demi menuntut kembali amanah yang dikhianati,” katanya lagi.
Sementara itu, bekas Senator Mohamad Ezam Mohd Nor dalam ucapannya turut menyokong penuh semangat perjuangan tersebut yang menurutnya lahir daripada kesedaran politik generasi muda.
“Kita lihat anak muda seperti YB Afnan Hamimi dari Kedah yang bertindak bersama rakan-rakan lain mahu menganjurkan perhimpunan pada 26 Julai, ini keberanian luar biasa dan titik penting dalam perjuangan,” ujarnya.
Bagi Aktivis politik veteran, Hishamuddin Rais pula menyeru rakyat Kedah untuk memenuhi ibu kota sebagai simbol penentangan rakyat.
Menurutnya, rakyat perlu sama-sama mendokong usaha ini untuk memberi isyarat kepada kerajaan.
“Kita mesti lakukan perkara ini. Anak-anak muda yakinlah dunia ini akhirnya adalah milik orang muda. Kita tidak ada pilihan, kita harus turun beribu-ribu. Saya telah lama dalam hal ini. Saya menganjurkan demonstrasi kerana percaya tidak turun demonstrasi, tidak turun jalan raya tidak akan menang pilihan raya.
“Hanya jalan raya, turun ke jalan raya, sebelum pilihan raya...kita harus terus menunjukkan perasaan, jika kali ini tidak ada sambutan dari kerajaan, kita perlu turun berkampung di Dataran Merdeka satu hari atau dua hari,” katanya dengan lantang.