PRN Sabah: Kenyataan Muhyiddin jelaskan tiada rundingan kerjasama PN-GRS - Armizan

PENAMPANG - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berpandangan bahawa kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak kerjasama dengan gabungan itu sudah menjelaskan bahawa tiada sebarang rundingan atau perancangan untuk bekerjasama antara kedua-dua pihak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen GRS berkata, kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu secara langsung menerangkan bahawa tidak pernah wujud cadangan untuk menjalin kerjasama antara GRS dan PN.

"Ini kenyataan peribadi saya, dengan kenyataan PN menolak kerjasama dengan GRS itu, kita perlu berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana beliau memudahkan urusan kita. Ini kerana, pertamanya tanpa kita perlu jelaskan, beliau secara langsung memaparkan hakikat bahawa tidak pernah ada cadangan kerjasama di antara kedua-dua pihak.

"Kedua, ini memudahkan kerja kita kerana GRS tidak perlu membuat kenyataan menolak kerjasama dengan pihak-pihak tertentu, nanti kita nampak angkuh dan sombong. Biar orang lain bercakap dan kita alu-alukan.

"Ketiga, setakat ini urusan kita lebih mudah, tanpa kita minta, Barisan Nasional (BN) Sabah dan terkini PN telah menyatakan pendirian menolak GRS. Yang penting kita jalan terus, yang penting adalah ikhtiar mendapatkan sokongan rakyat, bukannya mana-mana blok gabungan lain," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Festival Pengguna (Confest 2025) di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa PN menolak untuk bekerjasama dengan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Mengulas lanjut mengenai ucapan Muhyiddin yang mengungkit kemenangan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang beliau angkat sebagai Ketua Menteri, Armizan menegaskan bahawa perkara itu perlu dilihat daripada sudut nilai dan pengajaran.

"Saya melihat menerusi kenyataan itulah sebabnya antara alasan kita perlu untuk merintis perubahan bagi negeri Sabah kerana kalau berada dalam parti atau gabungan parti nasional, perkara ini akan berterusan.

"Disebabakan mahu jadi calon dalam pilihan raya, watikah pemilihan calonnya akan ditetapkan pihak di sana iaitu pimpinan pusat di Semenanjung Malaysia. Mahu jadi Ketua Menteri itu orang Sabah tapi Ketua Menteri itu menjadi pengerusi kepada parti nasional di negeri, lantikan pemimpin pusat di sana.

"Jadi akhirnya akan ada cerita kemudian hari bahawa 'kami yang pilih, kamu perlu terhutang budi, patuh dan setia perlu kepada pimpinan pusat'. Itu yang berlaku dan berbeza dengan parti lokal, mahu menjadi calon pilihan raya yang memutuskan dan menandatangani watikah ialah pemimpin di negeri daripada parti lokal itu sendiri.

"Mahu jadi Ketua Menteri Sabah dipilih oleh siapa, adalah dari kalangan ketua pimpinan parti lokal dan yang memilih pemimpin mereka adalah ahli di kalangan parti lokal itu sendiri," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengajaran daripada perkara tersebut wajar dijadikan panduan untuk membawa perubahan ke hadapan.

"Cukup-cukuplah ada sentimen yang menganggap mereka tuan. Merekalah 'master'. Kita perlu hantar isyarat yang jelas bahawa 'master' itu bukan di sana tetapi di sini, dan 'master' itu ialah rakyat Sabah.

"Jadi, kita teruskan sahaja, walau apa juga pandangan mereka, kita jalan terus. Keputusan telah pun dibuat. Kini kita memilih parti lokal kerana kita ingin merintis perubahan itu," tegasnya.