Hasrat BN mahu tanding solo bukan isu besar - Pemuda UMNO

IPOH - Hasrat UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam pilihan raya akan datang bukanlah satu isu besar sebaliknya hanya kesinambungan kepada pendekatan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, UMNO sudah berpengalaman bertanding secara bersendirian dan perkara itu bukan sesuatu yang asing bagi parti berkenaan.

“UMNO sudah melalui 15 kali pilihan raya secara solo di bawah gabungan BN. Malah ketika bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), UMNO tetap bertanding sendiri di Melaka.

“Jadi untuk pilihan raya akan datang, sekiranya perlu bergerak secara solo, maka kita akan teruskan. Ini bukan satu perkara mengejutkan dan bukan isu besar pun bagi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tambun di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Dr Aminuddin Md Hanafiah dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal.

Pada Sabtu, media melaporkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka memaklumkan bahawa BN bersedia untuk bertanding secara solo.

Katanya, tindakan tersebut diambil sekiranya tiada keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mengulas lanjut, Mohammad Sollehin berkata, sebarang rundingan atau perbincangan kerjasama politik dengan parti lain mesti dilakukan tanpa merugikan UMNO dan BN.

“Apa yang penting adalah semua keputusan perlu dibuat secara bijak dan tidak melemahkan kedudukan parti.

"Kalau perlu bergerak solo, maka kita tiada masalah,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Menyentuh kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berhubung Titah Adendum terhadap hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohammad Sollehin menegaskan bahawa Pemuda UMNO memandang serius perkara itu.

Menurutnya, Titah Adendum merupakan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seharusnya dihormati semua pihak.

“Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Rukun Negara, khususnya kesetiaan kepada Raja dan negara, sudah tentu kita menghormati dan menyokong titah tersebut.

“Apabila Peguam Negara sendiri mengesahkan kewujudan titah itu, maka menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya. Soalnya, mengapa ia tidak dilaksanakan lebih awal sehingga terpaksa melalui proses mahkamah?” soalnya.

Tambahnya, keputusan mahkamah telah memperakui kewujudan Titah Adendum, justeru kerajaan perlu bertindak adil terhadap Najib.