Taufiq cabar pembangkang bawa usul undi tidak percaya terhadap Anwar

SUNGAI PETANI – Pembangkang dicabar membawakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan menamakan individu yang kononnya layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan, tiada lagi pemimpin lebih layak berbanding Ahli Parlimen Tambun itu yang berjaya memulih dan membangunkan ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

"Jika pembangkang berani nak bawa satu gerakan kononnya menurunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya mencabar kalau ada mana-mana ahli Parlimen yang berani membawa usul undi tidak percaya dalam Parlimen, adakah akan mendapat sokongan?

"Dan silakan pembangkang namakan pemimpin yang boleh menggantikan Perdana Menteri hari ini... untuk masa sekarang dengan keadaan ekonomi teruk, tarif yang dikenakan Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat) agak tinggi, bagaimana untuk mengimbangkan negara... kita perlu seimbangkan pemulihan dan pembangunan, maknanya di samping nak pulih ekonomi, kita juga nak bangunkan ekonomi kita," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan media berhubung Himpunan 'Turun Anwar' ketika hadir ke majlis penyerahan projek naik taraf Medan Selera Jalan Dewa di sini pada Ahad.

Jelas Mohammed Taufiq, Anwar sendiri mempunyai sokongan penuh 154 ahli Parlimen yang sentiasa mendokong pentadbiran Kerajaan Madani tanpa perlu dipertikai lagi.

"Kita mesti tahu asas perhimpunan untuk apa, apa yang perlu didesak? Sekarang Perdana Menteri sudah melakukan satu usaha yang baik, pelaburan asing yang cukup banyak, peningkatan bantuan kebajikan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan setiap tahun, Bajet Ekonomi Madani setiap tahun dinaikkan.

"Kalau pembangkang cuma mainkan sentimen, apakah sebenarnya keutamaan perhimpunan itu diadakan? Sebab musabab kenapa nak 'Turun Anwar'?" soalnya.