JOHOR BAHRU - Seranai 10 mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menggesa 19 Ketua Cabang parti menarik balik kenyataan yang mendesak penggantungan keanggotaan sembilan ahli Parlimen, termasuk dua wakil rakyat dari negeri ini.
Dalam satu kenyataan bersama mereka berkata, tindakan tersebut tidak membantu usaha memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), malah berpotensi membuka ruang kepada manipulasi pihak lawan.
“Kami berpandangan semua isu dalaman wajar diselesaikan melalui saluran parti dengan meraikan perbezaan pendapat seperti ditegaskan oleh Setiausaha Agung.
"Mengeluarkan kenyataan terbuka sebegini hanya memberi gambaran seolah-olah parti berpecah,” jelas kenyataan itu pada Ahad.
Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada mantan Ketua Cabang dan mantan Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor turut mempersoalkan sikap tidak konsisten segelintir pimpinan yang sebelum ini tidak dikenakan sebarang tindakan, termasuk sewaktu kempen pemilihan parti di Sabah.
“Jika sembilan ahli Parlimen boleh dikenakan tindakan, mengapa tiada tindakan diambil terhadap YB Pasir Gudang dan pimpinan lain termasuk YB Nurul Izzah dalam isu terdahulu? Ini menimbulkan persoalan tentang layanan dua darjat dalam parti,” tambah mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, desakan 19 Ketua Cabang tersebut didakwa lebih bermotifkan kepentingan politik peribadi daripada semangat mempertahankan perlembagaan parti.
“Kami gesa kenyataan ini ditarik balik demi penyatuan parti. Jangan menyalakan kembali api yang hampir padam ketika kami sudah berlapang dada menerima keputusan pemilihan lalu,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama mantan Naib Pengerusi MPN Johor, S. Gopalakrisnan; mantan Setiausaha MPN Johor, Abd Hamid Ali; serta beberapa mantan Ketua dan Timbalan Ketua Cabang dari Kulai, Kluang, Sembrong, Sri Gading, Segamat, Johor Bahru dan Ledang.
Pada Sabtu, seramai 19 Ketua Cabang Parti PKR di Johor tampil mendesak supaya sembilan ahli Parlimen parti itu yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan badan kehakiman digantung keahlian serta-merta.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, tindakan sembilan ahli Parlimen berkenaan bukan sahaja melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi imej negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.