PASIR GUDANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta menghormati pandangan sembilan ahli Parlimennya yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman, dengan tidak mengambil tindakan menggantung keahlian mereka.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan menggantung keahlian hanya akan memburukkan lagi keadaan serta menggugat perpaduan parti.
"PKR perlu menghormati hak mereka untuk berbeza pandangan atau cadangan yang diberikan dengan mengkritik kerajaan.
"Tidak perlu tindakan disiplin, ini (pecat mereka) bukan kaedah yang sesuai. Jadi saya tidak bersetuju dengan cadangan 19 ketua cabang PKR di Johor untuk menggantung mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja bersama-sama Persatuan Peniaga Kecil Masai di Pekan Masai pada Ahad.
Pada Isnin, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi Ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Tindakan itu bagaimanapun mengundang reaksi 19 ketua cabang PKR Johor yang mahu kesemua sembilan ahli Parlimen berkenaan digantung kerana didakwa melanggar disiplin parti serta boleh menjejaskan imej Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Hassan memohon pucuk pimpinan untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka sebaliknya mengadakan pertemuan dengan sembilan ahli Parlimen terbabit untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
Jelasnya, adalah tidak wajar apabila parti politik yang demokratik seperti PKR tidak mendengar suara atau kritikan daripada ahli atau bekas pemimpin parti.
"Isu ini bukan isu disiplin, ini isu pandangan, jumpa mereka cari solusi cara baik, jangan sampai digantung. Kita mesti terus bersatu dan bukan berpecah-belah," ujarnya.