PRU16 lebih awal bukan perkara mustahil - Saarani

TAPAH - Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan sesuatu yang mustahil untuk diadakan lebih awal, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, beberapa indikator politik semasa seperti keperluan menghadapi tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Sabah, Melaka dan Johor memberi bayangan bahawa PRU mungkin diselaraskan lebih awal demi menjimatkan kos dan tenaga.

"Saya jangka PRU16 mungkin akan dibuat lebih awal daripada sepatutnya.

"Tempoh Parlimen sekarang sepatutnya tamat pada November 2027, tetapi jika ia dibubarkan pada Jun misalnya, ia akan hampir dengan PRN Johor yang perlu dibuat sekitar awal 2027,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Ahad.

Menurut Saarani, rentetan siri pilihan raya negeri tersebut perlu diambil kira dalam percaturan politik nasional memandangkan setiap satu daripadanya akan sampai tempoh matang masing-masing dalam tempoh dua tahun akan datang.

Jelas beliau, sebaik selesai PRN Sabah tahun ini, negara berdepan dengan pilihan raya sama di Melaka pada 2026 dan Johor pula menyusul pada awal 2027.

"Kalau tunggu hujung 2027 pula ada PRU16. Jadi berapa kali pilihan raya? Saya fikir ada kemungkinan disekalikan pilihan raya Johor dan pilihan raya umum untuk menjimatkan masa, tenaga dan juga wang," katanya.

Beliau turut menggesa jentera UMNO di peringkat bahagian agar tidak mengambil mudah tempoh yang ada sekarang.

"Benda ini (PRU16) bukan kuasa saya, itu kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Tetapi jika Parlimen dibubar serentak dengan DUN Johor, maka kita ada tempoh kira-kira dua tahun lebih untuk bersedia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saarani memaklumkan bahawa UMNO Perak kini memainkan peranan langsung dalam persiapan PRN Sabah apabila dihantar untuk membantu jentera parti di beberapa kawasan tumpuan.

Katanya, UMNO Perak membantu dua DUN di dalam kawasan Parlimen Kalabakan dan Tawau dengan menghantar enam petugas jentera.

“Tugas mereka bukan saja bantu kempen, tetapi buat kajian dan strategi bagaimana kita boleh menang di dua kerusi berkenaan," katanya.