JERANTUT - UMNO menegaskan perjuangan parti itu bukan bersifat peribadi membabitkan individu seperti Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya demi memastikan hak bekas Perdana Menteri itu yang sepatutnya diterima diberi perhatian sewajarnya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendirian tersebut diambil susulan pengesahan Jabatan Peguam Negara mengenai kewujudan Titah Adendum berkaitan Najib yang didedahkan baru-baru ini.
"Ikrar kita UMNO tidak akan berhenti dari memperjuangkan nasib Najib selagi beliau tidak mendapat hak-hak yang sepatutnya diterima dan kita akan teruskan perjuangan.
"Kita nak supaya rakyat faham bahawa UMNO bukan memperjuangkan individu tetapi kita memperjuangkan hak beliau (Najib) yang sepatutnya mesti kita berikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di sini pada Ahad.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pendirian itu seiring kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu keadilan ditegakkan buat Najib, termasuk membawanya ke perhatian perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dari 26 hingga 29 November ini.
**media[3200039]**
Menurutnya lagi, kewujudan adendum itu sepatutnya dimaklumkan lebih awal kepada umum.
"Kita faham benda ini dalam mahkamah, tidak mahu sentuh sangat isu ini tetapi saya anggap diri sebagai rakyat yang melihat lebih daripada 500 hari, adendum itu disimpan sahaja.
"Sepatutnya dari awal lagi dinyatakan wujudnya adendum itu. Terserah kepada pihak mahkamah untuk menentukan kedudukan adendum tersebut," jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis.
Beliau juga berharap agar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dapat mempertimbangkan kembali titah berkenaan.