Pertemuan PM dan Ahli Parlimen BN bincang isu semasa - Zambry

JELI – Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beberapa menteri dan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) pada Jumaat hanya membincangkan isu-isu semasa dalam negara.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah dasar-dasar kerajaan, perjalanan pentadbiran, penjelasan isu berbangkit serta interaksi antara ahli Parlimen.

Menurut beliau, pertemuan seperti itu sering diadakan bagi memastikan kepimpinan BN sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan menerima taklimat secara langsung daripada Perdana Menteri.

“Oleh kerana BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, maka hubungan seperti ini dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk mesyuarat berkala bersama kepimpinan utama.

“Perdana Menteri juga berkewajipan untuk mengadakan pertemuan dengan komponen-komponen kerajaan secara berkala, bukan hanya dengan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli 2025 pada Sabtu.

Zambry turut memaklumkan bahawa pertemuan tersebut memberi ruang kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi BN untuk menyampaikan beberapa cadangan kepada kerajaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen BN di kediaman rasminya di Putrajaya.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu difahamkan bertujuan membincangkan isu-isu semasa termasuk persediaan menghadapi sidang Parlimen yang akan datang.

Dalam perkembangan lain, ketika berucap pada majlis perasmian tersebut, Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyatakan keyakinannya bahawa BN mampu menawan semula Kelantan pada pilihan raya akan datang.

“Contohnya, dalam keadaan paling sukar seperti di Nenggiri, masih ada kejayaan yang membuktikan kerusi dapat dirampas kembali hasil penyatuan ahli parti,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperkukuh sebagai kekuatan untuk UMNO Kelantan di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

“UMNO juga sentiasa melahirkan pemimpin baharu pada setiap kali pilihan raya, dengan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus terdiri daripada muka baharu,” katanya.