Pas sasar lebih 50,000 sertai Himpunan 'Turun Anwar' 26 Julai ini

BANGI - Pas menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mobilisasi penyokong sedang giat dijalankan melibatkan semua peringkat termasuk setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“Sekurang-kurangnya satu bas akan digerakkan dari setiap kawasan DUN, tetapi ada kawasan Parlimen yang sudah menempah sehingga 10 bas,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, himpunan tersebut akan diadakan secara aman dan tertib, selaras dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan pun sudah memutuskan bahawa tugas polis adalah untuk memastikan perhimpunan aman berjalan lancar, bukan menyukarkan.

“Kami telah beberapa kali berbincang dengan pihak polis dan setakat ini, kerjasama mereka sangat baik,” ujarnya.

Takiyuddin turut menegaskan bahawa Pas dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan untuk menyekat suara rakyat yang mahu bersuara secara sah.

“Ini adalah perhimpunan rakyat. Kita lihat sambutan bukan sahaja daripada parti politik, tetapi daripada pelbagai pihak termasuk dalam kerajaan sendiri yang secara diam-diam menyatakan sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, nama himpunan tersebut dipendekkan kepada Himpunan Turun Anwar bagi memudahkan sebutan dan menarik perhatian rakyat.

“Nama rasmi himpunan ialah Selamatkan Malaysia: Himpunan Kebangkitan Rakyat: Turun Anwar. Tapi kita guna nama ‘Turun Anwar’ supaya senang diingat dan kuat impaknya.

“Kenapa Anwar perlu turun? Sebab kita nak selamatkan Malaysia. Jalan penyelesaian ialah Anwar letak jawatan,” katanya.

Mengulas kenyataan kerajaan yang mendakwa himpunan itu bertujuan menggugat kestabilan negara, Afnan menyifatkannya sebagai taktik menakut-nakutkan yang mencerminkan ketakutan pihak tertentu terhadap suara rakyat.

“Mereka yang kata himpunan ini nak huru-harakan negara, sebenarnya mereka yang melakukan perkara itu.

“Kita pembangkang yang matang, guna saluran demokrasi, tidak seperti mereka dahulu yang ganas turun ke jalan,” katanya.

Afnan turut secara sinis menjemput bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk hadir ke himpunan tersebut jika beliau benar-benar berani menyatakan pendiriannya secara terbuka.

“Kalau Rafizi betul-betul ada prinsip, kita jemput dia hadir dan nak tengok keberanian dia berdepan dengan rakyat,” katanya.