Pangku jawatan di NRES, bukan bermakna UMNO kuasai Kabinet - Johari

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan pelantikannya sebagai pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bukan bermakna parti itu menguasai Kabinet kerajaan.

Katanya, pelantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Nik Nazmi Nik Ahmad memandangkan sidang Parlimen Ke-15 dijangka berlangsung tidak lama lagi.

“Macam mana hendak kata UMNO kuasai Kabinet, kita ada 26 ahli Parlimen sahaja sedangkan Kerajaan Perpaduan ada lebih kurang 148 kerusi.

"Itu kekuatan sebenar kerajaan dan setakat hari ini belum ada lagi yang nak keluar (tarik sokongan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan di Dewan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) di sini pada Sabtu.

**media[3199105]**

Johari diminta mengulas mengenai pelantikannya yang diumumkan Jumaat lalu dan dilihat oleh sesetengah pihak seolah-olah memberi lebih penguasaan kepada UMNO dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, UMNO perlu berhenti menoleh ke belakang dan sebaliknya memberi fokus kepada perancangan parti untuk masa hadapan.

“Jangan lihat masa lalu. UMNO perlu lihat ke hadapan dan fikirkan apa hala tuju seterusnya,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO juga perlu lebih peka terhadap suara anak muda yang kini membentuk hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di negara ini.

“Kita kena berbincang dengan anak-anak muda ini kerana banyak isu yang mereka bangkitkan dan kadang-kadang pemikiran mereka sangat idealistik,” katanya.