Hafez Sabri kekal ketuai Pemuda Pas Perak

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, kekal menerajui kepimpinan Pemuda Pas Perak bagi sesi 2025 hingga 2027.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pemuda Pas Perak, barisan kepimpinan sayap parti itu menyaksikan perubahan ketara meskipun hanya empat muka baharu ditampilkan.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Kangsar, Mohammad Omar Adam, yang sebelum ini merupakan Naib Ketua Pemuda Pas Perak, dipilih menyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak yang baharu menggantikan ADUN Slim, Muhammad Zulfadli Zainal.

ADUN Pengkalan Hulu, Mohamad Amin Roslan, yang sebelum ini merupakan Ketua Penerangan Pemuda Pas Perak, kini dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda Pas Perak yang baharu.

Seorang lagi wakil rakyat, iaitu ADUN Titi Serong, Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat, diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Perak.

Jawatan lain yang turut menampilkan muka baharu termasuklah Setiausaha Pemuda Pas Perak, Muhammad Syukri Alimar Shidi; Penolong Setiausaha I, Abdul Hadi Azman; Penolong Setiausaha II, Md Hasrul Abd Razak; dan Penolong Setiausaha III, Muhammad Faris Muhammad Ismi.

Turut berubah ialah jawatan Bendahari Pemuda Pas Perak yang kini disandang oleh Zulfitri Amini Zainal Azmi, serta Ketua Penerangan baharu, Aiman Danial Jasni.