'Lupakan kerenah peribadi kalau nak menang di Kelantan' - Ahmad Jazlan

TUMPAT – [DIKEMAS KINI] UMNO Kelantan perlu melupakan kerenah peribadi sekiranya mahu merampas semula kerusi-kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bagaimanapun berkata, tidak mustahil gabungan UMNO dan parti-parti komponen mampu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Memang tidak mustahil kita akan menambah kerusi, tetapi mestilah melupakan kerenah peribadi kerana parti lebih penting,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat 2025 pada Jumaat.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Jazlan berkata, UMNO bersama gabungan berpotensi untuk menang dalam pilihan raya akan datang, meskipun ketika ini hanya memegang dua kerusi di Kelantan.

“Jika Presiden (Ahmad Zahid) datang, itu bukan satu ‘alamat’ yang salah. Cuma tinggal lagi, sama ada kita mahu menang atau sebaliknya,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman UMNO di Kelantan yang pernah mengadakan mesyuarat di bawah pokok, namun yakin keadaan akan berubah dengan semangat kerjasama dalam kalangan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Memang sedih ketika itu, tetapi kini kita sudah ada Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Insya-ALLAH, UMNO menjadi pagar dan pelindung kepada orang Melayu,” katanya.