JOHOR BAHRU – Seramai 19 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor tampil mendesak supaya sembilan ahli Parlimen parti itu yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan badan kehakiman digantung keahlian serta-merta.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, tindakan sembilan ahli Parlimen berkenaan bukan sahaja melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi imej negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini juga membuka ruang kepada manipulasi politik pihak lawan. Sebarang isu berkaitan dasar atau keprihatinan terhadap pentadbiran negara seharusnya disalurkan melalui platform dalaman parti seperti Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Kami tidak menolak kepentingan menjaga integriti institusi kehakiman, namun pendekatan mereka telah melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama melibatkan Khairil Adanan iaitu Ketua Cabang Mersing; Mohd Ysahruddin Kusni (Bakri); Mohd Faizul Abd Ghani (Pengerang); Abd Saad Salleh (Seri Gading); Mohd Shahrun Radzi (Sembrong); Rosman Tahir (Ayer Hitam); Roselin Nona (Muar); dan Shamala Sham (Iskandar Puteri).
Turut serta ialah Murad Jailani (Pasir Gudang); Prakash Maniam (Tebrau); Haniff Hosman (Pontian); Kalytas Chandarahasan (Kluang); Hishamuddin Misrin Ishak (Parit Sulong); Sayful Ariffin Abdul Karim (Tanjung Piai); Subramani Chami (Pagoh); Shamala Vasudevan (Segamat); Ibrahim Mohd Nor (Kota Tinggi); Ravi Sankar (Labis); dan Faezuddin Puad (Cabang Pulai).
Mereka turut menggesa Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh agar mengambil tindakan segera dengan menggantung keahlian sementara kesemua sembilan ahli Parlimen terlibat serta memulakan siasatan tatatertib melalui Jawatankuasa Disiplin Parti.
“Memulakan siasatan tatatertib menyeluruh melalui Jawatankuasa Disiplin Parti. Tindakan tegas ini penting demi memelihara kewibawaan parti dan memulihkan semula disiplin organisasi.
“Ini juga bagi mengelakkan persepsi buruk yang boleh menjejaskan perpaduan Keadilan secara keseluruhan.
“Keadilan tidak boleh menjadi parti yang longgar dalam soal tadbir urus dan kesetiaan institusi dalam kalangan anggotanya,” tegas mereka.
Pada masa sama, mereka menyeru seluruh anggota dan penyokong PKR supaya terus berpegang pada prinsip perjuangan reformasi, menghormati saluran parti serta memberikan sokongan padu kepada Presiden PKR dalam misi meneruskan mandat rakyat dan agenda pembaharuan institusi secara berhemah.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli serta lapan lagi ahli Parlimen PKR lain telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkait pelantikan dalam institusi kehakiman.
Menurut Rafizi, langkah itu dibuat bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar bersetuju atau tidak bersetuju dengan usaha menegakkan integriti institusi kehakiman melalui satu siasatan yang bebas dan berwibawa.