MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan akan terus memimpin parti itu apabila menyatakan kesediaannya untuk kekal berkhidmat sehingga ke penghujung usia.
Beliau yang menyandang jawatan Presiden sejak 2003 berkata, keadaan kesihatannya masih baik dan tidak berhasrat untuk melepaskan amanah tersebut dalam masa terdekat.
"Saya kalau boleh, nak mati dalam bertugas. Saya sihat... alhamdulillah masih sihat," katanya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.
Ahli Parlimen Marang itu diramal akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 16 September depan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Difahamkan, muktamar kali ini akan menyaksikan pemilihan bagi beberapa jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN bersama parti-parti komponen lain.
"Ia bukan hak Pas sahaja... akan dibincangkan dengan parti-parti lain dalam PN," ujarnya.
Muktamar Pas dijangka menarik perhatian, khususnya dalam menentukan hala tuju kepimpinan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain strategi kerjasama dalam blok pembangkang.