Kebimbangan PN selari desakan 9 ahli Parlimen PKR

KUALA LUMPUR – Desakan sembilan Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan kehakiman selari dengan kebimbangan yang dibangkitkan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gesaan daripada kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri menunjukkan wujud kebimbangan munasabah terhadap tahap kebebasan badan kehakiman ketika ini.

Kata Muhyiddin lagi, beliau percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seperti yang didesak oleh banyak pihak.

Katanya, hal ini kerana penubuhan RCI memerlukan keputusan Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

"Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan kenyataan menolak kemungkinan penubuhan sebuah RCI bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman dan campur tangan dalam keputusan mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri.

"AGC juga menolak peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagai badan yang wajar terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim.

"Kenyataan ini mewakili pendirian rasmi kerajaan. Ia adalah penolakan secara mentah-mentah terhadap desakan sembilan Ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri dari parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menuntut kedua-dua perkara ini dilakukan bagi menjamin kebebasan badan kehakiman," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak penubuhan RCI berhubung isu kehakiman terutamanya kekosongan kerusi Ketua Hakim Negara yang kini terpaksa dipangku oleh Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula berkata, jika RCI itu dibentuk kelak, Anwar selaku Perdana Menteri yang mempunyai kuasa perlembagaan dalam pelantikan hakim tidak dapat mengelak daripada disiasat.

Tambah Muhyiddin, kenyataan beberapa peguam terkemuka baru-baru ini mengesahkan kebebasan institusi kehakiman di bawah beberapa kerajaan termasuk PN sebelum ini lebih terjamin.

"Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya juga menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim selari dengan kehendak perlembagaan. Pada masa itu tidak pernah timbul apa-apa keraguan dalam urusan pelantikan hakim-hakim.

"Ini kerana saya tidak pernah mencampuri urusan mahkamah walaupun didesak oleh pelbagai pihak. Saya menghormati kebebasan badan kehakiman untuk menegakkan keadilan," kata beliau.