SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan tindakan Pas meletakkan syarat kepadanya untuk mendapatkan sokongan berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman sebagai tindakan ‘menunggang’ isu.
Rafizi berkata, sembilan Ahli Parlimen PKR termasuk dirinya telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen berkenaan cadangan RCI tersebut.
Menurutnya, melalui tindakan itu, dapat dikenal pasti pihak yang bersetuju atau tidak bersetuju dengan penubuhan RCI.
"Bukanlah hak saya untuk menghukum siapa yang ikhlas atau tidak dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman, seperti mana Pas yang terus menghukum saya kononnya tidak ikhlas selagi tidak menyertai perhimpunan mereka.
"Saya minta satu sahaja, Pas jangan ulang kesilapan semasa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dahulu. Kami bersusah payah membuktikan penyelewengan, mereka mudah sahaja menjadi 'auditor' dan umum berpuas hati," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Pas menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan penubuhan RCI berhubung isu badan kehakiman sekiranya Rafizi turut serta dalam Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa beliau benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.
Mengulas lanjut, Rafizi menyatakan bahawa Pas sering bercakap mengenai politik matang, namun tindakan mereka tidak mencerminkan perkara tersebut.
"Politik matang bermaksud kita mengutarakan pandangan mengenai sesuatu isu berkepentingan awam secara objektif. Kalau pandangan itu nampak sama, ia bukan bermakna kita berada atas pentas politik yang sama.
"Bagi pihak pembangkang, pandangan itu dilihat sebagai membangkang, manakala bagi pihak kerajaan, ia dilihat sebagai teguran. Kedua-duanya perlu memainkan peranan," ujarnya.