KOTA KINABALU - Walaupun pelbagai andaian berhubung tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembuangan undi timbul, namun penentuan tarikh itu tetap menjadi hak mutlak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menentukannya.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg berpandangan bahawa Ketua Menteri sedang meneliti masa yang sesuai untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
"Namun ramai berpendapat perkara ini hanya akan berlaku selepas Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) iaitu pada 30 Julai ini.
"Ada juga yang menjangkakan pembuangan undi akan diadakan semasa cuti sekolah pada September, tetapi semua itu hanyalah andaian. Yang pasti, biarlah Ketua Menteri yang menentukan tarikh pembubaran kerana itu adalah hak beliau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai tarikh-tarikh penting susulan penggal pentadbiran kerajaan yang diketuai Hajiji dijadualkan berakhir pada November ini.
Mengulas kenyataan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya bahawa persidangan diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun, Romzi sekali lagi menegaskan bahawa kuasa membubarkan DUN tetap terletak di tangan Ketua Menteri.
"Hak pembubaran di tangan Ketua Menteri, bukan di tangan Speaker, maka logiklah kenyataan Ketua Menteri itu (yang seolah-olah mengesahkan persidangan DUN semalam yang terakhir)," katanya.
Bagaimanapun, Romzi mengingatkan bahawa pemain politik juga kini perlu mula menggerakkan jentera mereka masing-masing.
"Ini kerana hakikatnya PRN akan diadakan dalam tempoh terdekat iaitu tahun ini," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Hajiji seolah-olah mengesahkan bahawa sidang DUN selama dua hari yang tamat pada Selasa merupakan persidangan terakhir sebelum memberi laluan kepada PRN Sabah.
Bagaimanapun, beliau masih berteka-teki mengenai tarikh penting itu dan hanya menyatakan bahawa pengumuman akan dibuat apabila tiba masanya.