ALOR SETAR - Tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat institusi kehakiman negara bukan sahaja menambah satu lagi episod penting sejarah politik tanah air, malah dilihat sebagai langkah strategik menguji pengaruh dan kekuatan politiknya.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, langkah Rafizi itu berisiko namun penuh strategi, kerana ia membuka ruang kepada kemungkinan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun katanya, sekiranya perubahan itu berlaku, ia bukan hanya sekadar menukar Perdana Menteri, tetapi membawa gelombang perubahan dalam struktur dan polisi kerajaan.
“Rafizi bukan sahaja menguji keabsahan institusi, tetapi sedang menguji keupayaan dirinya sebagai ‘PM yang seterusnya’.
“Namun kejayaan Rafizi bergantung kepada kemampuannya meyakinkan rakan seperjuangan bahawa agenda reformasi lebih penting daripada kesetiaan parti, selain sokongan rakyat dan reaksi institusi negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
**media[3195309]**
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, langkah Rafizi yang dilihat ‘melawan arus’ juga bukan semata-mata dorongan untuk reformasi institusi tetapi membawa naratif strategi politik peribadi dan negara,
“Rafizi gemar ambil risiko, muncul sebagai suara alternatif yang menekan butang ‘reset’ dalam isu keadilan, integriti dan pemisahan kuasa.
“Di sebalik wajah idealis, terdapat sisi pragmatisme Rafizi. Langkah ini adalah cara beliau mengukur suhu politik dan kekuatan pengaruhnya terutama dalam kalangan ahli Parlimen serta blok pembangkang,” katanya.
Setakat ini katanya, Rafizi telah mengumpulkan sokongan terbuka daripada sembilan ahli Parlimen, jumlah kecil tetapi cukup untuk mencetuskan gelombang sokongan lebih besar sekiranya berjaya menarik lebih ramai wakil rakyat blok pembangkang mahupun mereka yang berkecuali.
“Dalam sistem Parlimen, majoriti mudah 112 kerusi diperlukan untuk dipilih sebagai Perdana Menteri dan cabaran terbesar bukan sekadar jumlah undi, tetapi keupayaan membuktikan kestabilan serta sokongan kepada calon pengganti.
“Jika Rafizi mendapat majoriti sokongan, beberapa senario boleh berlaku. Jika sokongan datang dari dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri, kemungkinan besar struktur kerajaan kekal dengan hanya perubahan kepimpinan. Rafizi boleh menjadi PM baharu tetapi kerajaan masih koalisi sama.
“Jika sokongan datang daripada kombinasi ahli PH dan pembangkang, ini boleh membawa kepada pembentukan kerajaan campuran baharu atau Kerajaan Perpaduan pelbagai parti.
“Senario ketiga lebih kompleks jika sokongan daripada pembangkang dengan hanya sebahagian kecil PH, yang akan menyaksikan perubahan kerajaan dengan Rafizi memimpin koalisi baharu,” jelasnya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pembangkang pula sentiasa bersifat pluralistik, namun sekiranya Rafizi dapat meletakkan dirinya sebagai ekuiti bersama dan menyeberangi batasan politik dengan menawarkan sesuatu bersifat ‘common platform’, tidak mustahil pembangkang akan bersama beliau sebagai alternatif kepada status quo.
“Dalam senario undi belah bagi di Dewan Rakyat, jika Rafizi memperoleh 80 undi, Anwar 79 undi dan selebihnya 61 berkecuali, keputusan ini bawa implikasi moral yang sangat besar.
“Kekalahan tipis Anwar adalah isyarat kepercayaan terhadap PM telah goyah. Dalam demokrasi berparlimen Malaysia, keabsahan Perdana Menteri bukan sekadar bergantung pada angka, tetapi juga moral serta kepercayaan majoriti wakil rakyat.
“Langkah terhormat ialah menawarkan peletakan jawatan sebagai tanda menghormati mandat Parlimen,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan faktor kerapuhan dalam Kerajaan Perpaduan yang dipenuhi dengan tekanan, kompromi dan ketidakpuasan, baik di peringkat parti mahupun individu memberi manfaat kepada Rafizi jika tidak diurus dengan bijak.
“Kelemahan ekonomi yang tidak memihak kepada rakyat serta senario sebenar dalam PKR perlu diperhatikan sama ada Rafizi mempunyai sokongan akar umbi atau pemimpin peringkat nasional, selain pertembungan dalaman yang menjadi faktor penentu survival masa depan politik,” ujarnya.
Tambah beliau, jika Rafizi menawarkan visi segar dan realistik, beliau berpotensi mengisi vakum kepimpinan yang semakin terasa.
“Sama ada beliau akan menjadi pengubah sebenar atau sekadar gema yang akan berlalu, hanya masa menentukan. Jika politik Malaysia adalah cerminan kepada ilmu dan keberanian, Rafizi sedang berdiri di muka pintu sejarah,” katanya.