HULU LANGAT – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim menegaskan bahawa bayaran kompaun yang dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukanlah satu bentuk pengakuan bersalah terhadap sebarang pertuduhan.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak MCMC seolah-olah memberikan gambaran bahawa beliau telah mengaku bersalah, sedangkan bayaran tersebut dibuat semata-mata untuk tujuan penyelesaian kompaun tanpa sebarang pengakuan terhadap pertuduhan.
“Tidak seperti sesetengah undang-undang lain seperti Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mewajibkan pengakuan bersalah secara bertulis bagi tujuan penyelesaian kompaun atau boleh digunakan di mahkamah sebagai petunjuk bersalah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau merujuk Seksyen 62(2) OSHA 1994 yang menyatakan: “Tawaran untuk mengkompaun di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat secara bertulis dan mengandungi klausa yang menghendaki orang yang ditawarkan kompaun itu mengaku secara bertulis bahawa dia telah melakukan kesalahan tersebut.”
Menurutnya, keputusan untuk menjelaskan bayaran kompaun kepada MCMC dibuat kerana beliau sedang menghadapi satu prosiding mahkamah yang masih berjalan dan melibatkan komitmen kos serta masa yang tinggi.
“Oleh itu, penyelesaian melalui kompaun merupakan langkah pragmatik bagi mengelakkan pertindihan beban serta memastikan kelangsungan urusan saya yang lain,” jelasnya.
Shafiq berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan peguam berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh MCMC memandangkan ia menimbulkan kekeliruan dan kejanggalan, khususnya kerana tiada peruntukan dalam mana-mana seksyen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) yang menyatakan bahawa pembayaran kompaun membawa maksud pengakuan bersalah atau mewajibkan pengakuan tersebut dibuat.
Tambah beliau, pihaknya turut mempertimbangkan untuk menarik semula bayaran kompaun atau memohon kepada MCMC agar memulangkan jumlah tersebut bagi membolehkan perkara berkenaan dibawa ke peringkat perbicaraan di mahkamah.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” tambahnya.