Shahaniza kemukakan LOD kepada Salman

MARAN – [DIKEMAS KINI] Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi pada Selasa.

Menurutnya, LOD tersebut dikeluarkan melalui peguamnya ekoran video fitnah yang disiarkan oleh Salman di platform TikTok dan Facebook baru-baru ini.

“Video tersebut secara terang-terangan memfitnah, mengaibkan dan merendahkan kredibiliti saya, termasuk menuduh projek paip air di Maran yang saya tinjau sebagai sekadar lakonan.

“Salman sendiri mengakui dalam WhatsApp bahawa tujuan beliau hanya untuk menjatuhkan reputasi saya supaya pengundi tidak memilih saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Ujarnya, beliau menuntut agar semua video dan kenyataan fitnah dipadam serta permohonan maaf secara terbuka dibuat dan kekal disiarkan selama setahun di media sosial.

Jelasnya lagi, tuntutan lain adalah agar Salman memberikan aku janji untuk tidak mengulangi fitnah tersebut dan membayar ganti rugi sebanyak RM1 juta.

“Jika gagal, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi. Terima kasih atas doa dan sokongan semua,” tambahnya.