IPOH – Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tambun tidak berdepan masalah organisasi meskipun terdapat pendedahan bahawa 16 Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang berkenaan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.
Ketua PKR Cabang Tambun, Shamsul Kamar Ani berkata, gerak kerja parti berjalan seperti biasa berdasarkan perancangan yang telah disusun bagi memperkukuh parti itu di cabang berkenaan.
Menurutnya, fokus kini lebih terarah kepada menyantuni pengundi dan penduduk menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Kita ada 200,000 pengundi yang kita nak santuni bukan nak kisahkan 16 orang yang tak bersetuju.
"Fokus kita ke arah PRU16 bukan sahaja PKR di Parlimen Tambun tapi nak rangkul semua rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Shamsul Kamar turut mengakui hubungan dengan bekas Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta ketika ini berada dalam keadaan baik.
"Kita dengan dia (Muhamad Arafat) tak ada masalah boleh 'move on'. Jadi saya tak mahu cetuskan apa-apa (perkara berbangkit).
"(Cabang) Tambun dah okay, jangan dikacau lagi. We are on the track," katanya lagi.
Pada Selasa, media melaporkan bahawa Muhamad Arafat mendedahkan terdapat 16 AJK cabang berkenaan termasuk Naib Ketua Cabang menyatakan hasrat meletakkan jawatan susulan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.
Menurutnya, semua AJK terbabit merupakan sebahagian daripada pasukannya yang kecewa dengan keputusan pemilihan peringkat cabang.
Bagaimanapun, beliau mengambil pendekatan untuk memujuk AJK terbabit agar tidak meneruskan hasrat berkenaan demi kepentingan parti.
Dalam pemilihan PKR pada April lalu, Muhamad Arafat gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Tambun apabila memperoleh 1,233 undi berbanding pencabarnya, Shamsul Kamar yang meraih 1,458 undi.