SEGAMAT – Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang segera memohon maaf secara terbuka berhubung keterlanjuran ucapan beliau baru-baru ini disifatkan sebagai contoh teladan kepimpinan berjiwa besar yang wajar dicontohi.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh berkata, tindakan tersebut jelas menunjukkan keberanian dan keikhlasan dalam mengakui kekhilafan, sesuatu yang jarang dilakukan oleh pemimpin politik masa kini.
“Dalam politik, tidak mudah untuk seorang pemimpin tampil mengakui kesilapan.
"Namun tindakan beliau ini membuktikan bahawa parti kita sentiasa mengutamakan nilai keinsanan dan bertanggungjawab, bukan hanya mengejar matlamat politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang menambah, sikap bertanggungjawab itu harus menjadi contoh kepada seluruh ahli parti dan pemimpin lain agar terus memperbaiki diri serta bersedia membetulkan sebarang kesilapan.
Tambahnya, insiden tersebut perlu dijadikan pengajaran supaya amanah kepimpinan dapat dipikul dengan penuh keinsafan dan kekuatan dalaman demi kebaikan bersama.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid mengakui berlaku kekhilafan dalam kenyataannya yang mengandungi perumpamaan mengenai malaikat seperti yang tular menerusi sebuah video baru-baru ini.
Menurut beliau, kenyataan itu diungkapkan dalam suasana penuh emosi ketika menjelaskan tekanan yang dihadapi sepanjang memegang amanah sebagai Presiden UMNO.