Tiada isu pertukaran Presiden, Pas masih perlukan Abdul Hadi - Dewan Ulama Pas

KOTA BHARU - Tiada sebab untuk tidak mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas kerana parti itu masih memerlukan khidmat pemimpin berkenaan.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, setakat ini tidak timbul sebarang isu pertukaran Presiden malah Pas seluruh negara mahu mengekalkan Abdul Hadi sebagai pemimpin tertinggi parti berkenaan.

"Kita tegaskan Pas masih memerlukan beliau bukan sahaja dalam parti bahkan negara dan dunia serta hubungan antarabangsa kerana pengalaman dan ilmunya," katanya.

"Insya-ALLAH seluruh negara akan mengekalkan Tan Sri (Abdul Hadi) dan kita tidak dengar langsung (pertukaran)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Muslimat Pas Negeri Kelantan pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, setakat ini juga tiada nama yang dicalonkan untuk jawatan berkenaan.

"Ada pertandingan apabila calon lebih daripada satu tetapi jika calon hanya satu, itu dikatakan menang tanpa bertanding," katanya lagi.