UMNO perlu strategi baharu tarik hampir 40 peratus pengundi muda

BATU PAHAT – UMNO perlu segera merangka strategi baharu bagi menarik sokongan pengundi muda yang kini membentuk hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, landskap politik negara kini banyak bergantung kepada keputusan generasi muda yang mempunyai cara berfikir serta keutamaan yang berbeza daripada generasi terdahulu.

“UMNO sememangnya mempunyai rekod pencapaian yang kukuh setelah 60 tahun mentadbir negara dan membina sistem pendidikan untuk seluruh rakyat.

“Saya ingin mengingatkan kepada ahli UMNO, memang benar kita mempunyai kejayaan dan rekod prestasi yang cukup hebat, namun generasi muda hari ini tidak lagi hanya melihat kepada sejarah lampau dan kejayaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong di Taman Sri Sulong, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan; Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad; dan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan, generasi muda kini mahu melihat pemimpin yang bukan sahaja memperjuangkan kepentingan mereka tetapi juga peka terhadap isu-isu semasa di peringkat global.

“Mereka menekankan soal integriti dan kredibiliti pemimpin, selain mahu melihat bagaimana pemimpin itu benar-benar komited dalam perjuangan rakyat. Mereka akan membuat penilaian berdasarkan perkara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Johari menegaskan bahawa sayap parti, khususnya Pemuda dan Puteri UMNO perlu memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan generasi lama dan baharu dengan lebih berkesan.

“Sayap parti merupakan kesinambungan penting agar UMNO dapat menyusun strategi masa depan dengan meletakkan golongan muda sebagai sebahagian daripada perjuangan parti.

“Suara golongan muda perlu diberi ruang agar menjadi sumber input penting kepada barisan kepimpinan parti. Input daripada mereka ini akhirnya akan memberi kesedaran kepada pemimpin, termasuk saya.

“UMNO perlu melihat ke hadapan; apa strategi masa depan yang ingin disusun dan dilaksanakan,” katanya.