UMNO perlu susun strategi seperti pasukan bola sepak

BATU PAHAT – Setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen perlu dilihat umpama posisi sebuah pasukan bola sepak dengan setiap pemimpin UMNO perlu memainkan peranan bagi memastikan kejayaan pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sekiranya parti hanya menumpukan kerusi-kerusi ‘panas’ atau calon popular tanpa pasukan yang lengkap di setiap DUN atau Parlimen maka parti berisiko kecundang.

“Dalam padang bola, kita ada 'striker, 'midfielder', 'fullback', 'goalkeeper'. Kalau kita hanya ada ramai 'striker' atau penyerang siapa nak bertahan bila diserang?

"Sama juga dengan kerusi DUN dan Parlimen. Mesti ada pasukan lengkap dan ada peranan masing-masing,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong di Taman Seri Sulong di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, Johor menjadi contoh bagaimana penyusunan strategi kerusi DUN yang teratur mampu membawa kemenangan besar.

"Saya rasa Johor ada satu elemen sangat penting untuk UMNO. Kalau kita tengok masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022, kita berjaya dapat 40 daripada 56 kerusi DUN iaitu majoriti dua pertiga.

"Tetapi selepas itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada November tahun sama, daripada 26 kerusi Parlimen, kita hanya menang sembilan kerusi sahaja," ujarnya.

Justeru, Johari menegaskan semangat berpasukan perlu menjadi tunjang kepada gerak kerja parti supaya kejayaan PRN Johor dapat diterjemahkan kepada peningkatan jumlah kerusi Parlimen pada masa depan.

“Contohnya semangat berpasukan. Dalam pasukan bola, kalau hanya satu dua striker sahaja bekerja, dia tak boleh menang. Harapnya kita dapat tambah kerusi Parlimen lagi,” katanya.