UMNO Bahagian Sri Gading lulus usul tanding kerusi Parlimen pada PRU16

BATU PAHAT - UMNO Bahagian Sri Gading sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk bertanding di kerusi Parlimen Sri Gading pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan, berkata usul itu dipersetujui kira-kira 1,000 perwakilan pada mesyuarat bahagian pada Sabtu.

Menurutnya, UMNO mengambil pendirian untuk bertanding di Parlimen Sri Gading kerana ia adalah kerusi tradisi yang mana partinya menang tujuh daripada sembilan kali bertanding.

"Kita mengambil pendirian untuk bertanding kerana kami bukan parti komponen Pakatan Harapan (PH). Jadi kita oleh bertanding mana-mana kerusi yang hendak ditandingi.

"Kalau mereka katakan Sri Gading ini kerusi tradisi PH, UMNO sudah sembilan kali menang bertanding dan PH baru dua kali. Jadi macam mana mereka boleh katakan ia kerusi tradisi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini pada Sabtu.

Mohd Lassim berkata, mesyuarat perwakilan merupakan forum untuk ahli menyatakan pendirian, bertukar pandangan dan perkara lain yang dirasakan penting untuk parti serta masa depan UMNO Sri Gading.

"UMNO Sri Gading menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan berhubung pendirian bertanding sama ada solo atau sebagainya.

"Tetapi kita UMNO Sri Gading ada 18,000 ahli dan 104 cawangan yang mana mereka menuntut presiden agar mengekalkan kerusi Parlimen Sri Gading kepada kita," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian bersetuju dengan usul dibawa perwakilan UMNO Sri Gading dan menyerahkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

"Kita tahu di Sri Gading ini ada sedikit masalah. Saya tahu tapi itulah resolusi daripada UMNO Cawangan dan Bahagian yang hendakkan kerusi Parlimen ini kembali kepada UMNO.

"Saya setuju jadi kita serahkan kepada Menteri Besar tetapi tuntutan UMNO Sri gading wajib dipenuhi," ujarnya.