LARUT – Pembangkang akan membawa isu berkaitan pelaksanaan projek Kota Madani di Putrajaya ke Parlimen yang akan bersidang bermula 21 Julai ini.
Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembinaan projek mega seluas 41 hektar itu perlu dibahaskan berikutan pembangunannya akan menambah komitmen kewangan negara.
**media[3190434]**
Menurut beliau, apa-apa projek pembinaan termasuk kuarters tidak seharusnya memberi kesan jangka panjang yang membebankan kepada generasi akan datang.
“Perkara ini akan dibawa ke Parlimen kerana kita tidak mahu apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini membebankan rakyat dan ditanggung pada masa depan.
“Kalau ini kos yang ada, kita ada peruntukan yang cukup dan mampu dibayar, buatlah mengikut kadar yang bersesuaian.
“Bukan sekadar melaksanakan satu projek mega yang akhirnya tidak mampu untuk dibayar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut 2025 di Dewan Sungai Bayor, Selama pada Sabtu.
Hamzah berkata, dengan bebanan hutang negara yang melebihi RM1 trilion serta kenaikan cukai, pembangunan projek mega itu dilihat sukar dilaksanakan secara berkesan.
“Apakah mereka benar-benar mampu membangunkan bandar tersebut?
“Sebab itu saya tegaskan, melaksanakan sesuatu untuk kepentingan segelintir pihak adalah tidak adil terhadap masa depan negara,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, projek Kota Madani bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. melalui model kerjasama awam-swasta berkonsepkan Bina-Pajak-Selenggara-Pindah (BLMT), tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Projek itu bakal merangkumi lebih 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi, mampu menampung lebih 30,000 penduduk serta dilengkapi sekolah menegak dan pelbagai kemudahan awam lain.