'Tunggu Hadi Awang buka mulut'

BACHOK – "Berundur atau tidak, kena tunggu Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sendiri buka mulut mengesahkan berita tersebut.

"Saya boleh sekadar sahkan ‘retreat’ itu berlangsung di Kuala Terengganu," demikian menurut bekas Setiausaha Politik kepada Presiden Pas itu yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman ketika diminta mengulas khabar angin bahawa Abdul Hadi akan melepaskan jawatan sebagai pemimpin nombor satu parti itu.

Menurut beliau, ‘retreat’ itu diadakan untuk membincangkan hala tuju parti.

Namun ujarnya, berkaitan soal kepimpinan, mereka menyerah kepada kebijaksanaan para perwakilan dalam muktamar.

"Sudah menjadi tradisi dan budaya dalam parti kita, dalam bab pemilihan di peringkat cawangan, kawasan, dewan, pusat — semuanya dalam keadaan tenang.

"Jadi, kita harapkan proses pemilihan muktamar kali ini juga berlangsung dalam keadaan tenang. Persoalan tentang kesihatan, semua sedia maklum.

"Di pihak Tuan Guru... Tuan Guru merasakan kesihatan beliau baik, tetapi doktor banyak menasihatkan supaya dikurangkan aktiviti luar dan aktiviti di tempat sesak, itu sahaja," katanya semasa ditemui pemberita pada Sambutan Penghayatan Hari Wukuf Parlimen Bachok di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, dari segi kesihatan, kuliah, mesyuarat, dan pengurusan berjalan seperti biasa dan semua pihak mendoakan kesihatan beliau (Abdul Hadi) baik.

Ujarnya, mengenai pemilihan, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan para perwakilan muktamar untuk membuat keputusan.

"Insya-ALLAH ia (pemilihan) akan berlangsung dengan suasana tenang dan tidak berkocak. Selebihnya, lebih baik tuan badan buka mulut (Abdul Hadi).

"Saya bagi contoh, semasa tanding Parlimen Marang, Tuan Guru tidak berhasrat, tapi parti putuskan bertanding. Samalah isu sekarang, terserah pada perwakilan," katanya.

Menurut Mohd Syahir, beliau berpandangan bahawa semua ahli parti masih sayang dan memerlukan kepimpinan Tuan Guru, khususnya dalam tempoh mencabar ini.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan bahawa Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Difahamkan, Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat berkenaan kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu ‘retreat’ parti pada hujung minggu lalu yang diadakan di Hotel Primula, Terengganu.

Menurut sumber, luahan tersebut membuka ruang kepada perbincangan dalaman antara kem ulama yang kini sedang berusaha meyakinkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar bersedia mengambil alih tampuk kepimpinan.