Siapa paling layak ganti Hadi Awang?

SHAH ALAM - Hasrat Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan Presiden Pas menimbulkan persoalan besar mengenai siapa yang layak menggantikan beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan bahawa sekiranya Abdul Hadi benar-benar berundur, ia bakal menjadi titik penting dalam sejarah moden Pas.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan dibuat, ia memperlihatkan kem ulama kini sedang menggerakkan naratif supaya peralihan kuasa berjalan secara tertib dan tidak mengganggu kestabilan parti.

“Apa yang diberikan hint oleh Mokhtar Senik dan Datuk Mohd Amar Abdullah membayangkan bahawa tidak perlu ada goncangan besar iaitu terus kepada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man naik sebagai Presiden.

“Hierarki itu dibayangkan bahawa jangan ada formula lain sama ada untuk menaikkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ataupun pihak yang bukan ulama sebagai Presiden Pas. Jadi, mereka nak ulama juga menjadi peneraju kepada Pas,” katanya kepada Sinar Harian.

**media[3155202]**

Beliau turut melihat ia sebagai usaha untuk ‘melembutkan’ peralihan ini agar diterima baik oleh akar umbi, sambil Abdul Hadi diletakkan pada posisi lebih sesuai sebagai Mursyidul Am Pas, mengikut jejak langkah Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ditanya calon yang sesuai untuk menggantikan Abdul Hadi, Hisommudin menyerahkannya kepada perwakilan Pas untuk memilihnya.

Bagaimanapun katanya, seperti mana yang dibayangkan oleh Mohd Amar iaitu mereka mengharapkan supaya pemilihan kali ini tidak berlaku.

“Bahasa mudahnya, kem ulama mahu Tuan Ibrahim sebagai presiden parti. Mungkin akan berlaku sedikit perubahan gandingan kepada Tuan Ibrahim jika menjadi Presiden. Kemudian, akan berlaku lagi percaturan sekiranya Mohd Amar naik kepada Timbalan Presiden.

“Jadi, akan berlaku kekosongan juga dan persaingan di kerusi Naib Presiden. Bagi saya, itu adalah perkara normal. Apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah siapa yang akan berada di posisi nombor satu?” soalnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan menyifatkan kenyataan Mokhtar dan Mohd Amar sebagai peringatan awal kepada akar umbi agar bersedia menghadapi perubahan.

Menurutnya, pemimpin Pas mungkin belajar daripada apa yang berlaku di dalam pemilihan PKR yang membawa kepada perbalahan politik.

“Ini semestinya perlu dielakkan oleh Pas dan juga sebagai peringatan umum kepada calon dan penyokong yang berniat untuk bertanding.

“Bagaimanapun, saya percaya bahawa sebahagian besar ahli-ahli yang merangkumi kepimpinan tertinggi dalam parti masih lagi mengekalkan kesetiaan mereka dan menanam rasa hormat yang tinggi kepada Presiden.

“Ini setidak-tidaknya menjadikan parti itu bebas polemik kerana Presiden Pas berjaya mengekalkan kestabilan kuasa sehinggakan ahli-ahli lain tidak beradu kekuatan secara umum untuk mengolah posisi tertentu dalam parti,” jelasnya.

Ditanya sama ada ini masa yang sesuai jika Abdul Hadi ingin mengundur diri, beliau berpandangan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai kerana dalam konteks persaingan politik hari ini, Pas perlu dikemudi oleh figura baharu yang dilihat mampu untuk mengangkat naratif Pas.