Cadangan gabungan besar Tun M langkah terdesak, provokatif - AMK

SHAH ALAM – Cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua parti berteraskan Melayu disatukan dalam satu gabungan besar disifatkan sebagai langkah terdesak dan bersifat provokatif.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah gabungan pelbagai parti yang menyeluruh dengan kepimpinan Melayu yang kuat serta mewakili pelbagai komuniti dan wilayah.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu, gabungan Perikatan Nasional (PN) pula dilihat terus bergantung kepada permainan politik negatif dan bersifat konfrontasi.

“PN malah cuba berpura-pura kononnya mereka boleh menyatukan masyarakat Melayu, walaupun Dr Mahathir dan Pas telah berulang kali memecahbelahkan komuniti itu sebelum ini.

“Dr Mahathir sendiri keluar daripada UMNO lalu menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan kemudian Pejuang, manakala Pas pula memutuskan kerjasama Muafakat Nasional dengan UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung melalui Sekretariat Orang Melayu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Rabu.

Tambah Mohammed Taufiq, kestabilan dan kemakmuran yang dibawa oleh kerajaan Madani menyebabkan pembangkang kini tidak mempunyai dasar kukuh untuk ditawarkan kepada rakyat, sebaliknya kembali menggunakan retorik lama.

“Apa sebenarnya maksud Dr Mahathir dengan ‘mengembalikan kuasa Melayu’?” soalnya.

Menurut beliau, selain Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut hadir ketika pengumuman Dr Mahathir mengenai gabungan baharu tersebut.

“Perhimpunan itu melibatkan pemimpin kecewa yang cuba mengalih perhatian rakyat dengan naratif palsu.

“Pas menyokong dakwaan Dr Mahathir kononnya satu gabungan baharu diperlukan bagi memulihkan perpaduan Melayu.

“Tuan Ibrahim seharusnya sedar bahawa cadangan Dr Mahathir agar semua parti berteraskan Melayu disatukan dalam satu gabungan besar adalah langkah terdesak dan bersifat provokatif,” katanya lagi.

Justeru, Mohammed Taufiq menyeru masyarakat Melayu supaya melihat ke hadapan dan tidak terpedaya dengan dakwaan yang tidak bertanggungjawab itu.